TAHNIAH! HAEL HUSAINI ‘JAMPI’ AJL32

KUALA LUMPUR: Lagu ciptaan Hael Husaini, Ezra Kong berjudul Jampi nyanyian Hael Husaini muncul sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil di sini pada malam Ahad.

Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000, baucer produk CJ Wow Shop bernilai RM10,000, berserta trofi.

Naib juara pula milik lagu berjudul Sejati ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan nyanyian Azmi Caliph Busker.

Ia membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi.Lagu Tergantung Sepi ciptaan Gouffran dan Ibnu nyanyian Haqiem Rusli mendapat tempat ketiga.

Selain trofi, mereka turut menerima wang tunai berjumlah RM20,000.

Sementara itu, gandingan Syamel dan Ernie Zakri tampil sebagai pemenang Vokal Terbaik.

Mereka berdua membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM12,000, trofi, dan baucer CJ Wow Shop bernilai RM2,000.

Persembahan Terbaik pula milik Altimet menerusi lagu Amboi dan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000, sebuah telefon pintar Samsung Galaxy A8 berserta trofi.

Manakala, Anugerah Penyanyi Pilihan Samsung menjadi milik Khai Bahar membawa pulang trofi dan telefon pintar Samsung A8+.

12 finalis bertanding terdiri daripada Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan sepenuhnya Ajai dinyanyikan Dayang Nurfaizah, Sejati (Faizal Tahir/Mike Chan/Azmi Caliph Busker), Menahan Rindu (Ibnu & Gouffran/Wany Hasrita), Tergantung Sepi (Gouffran/Ibnu/Haqiem Rusli), Lebih Sempurna (Syamel) dan Aku Cinta (Syamel/Ernie Zakri).

Lagu lain ialah Warkah Untukmu (Hang Nadim/Laq/Ara Johari), Bayang (Alam Harry Khalifah/Patrick Anahanda/Khai Bahar), Jampi (Hael Husaini/Ezra Kong), Aku Yang Sebenar (M Nasir/Ad Samad/Hazama & The Penglipurlara), Amboi (Navigator/Altimet) dan Akhirnya Cinta (Ajai/Slen/Salma).

Kesemua persembahan pada malam itu diadili seramai 10 barisan juri profesional dan diketuai oleh komposer terkenal Azmeer.

Sementara itu, persembahan pembukaan pada acara tersebut turut diserikan dengan penampilan Stacy, Waris, AG Coco dan Edrie Hashim menerusi lagu Aku Stacy, Bosan dan Pakai Buang.

AJL31 juga turut menampilkan Datuk A.Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin,  Datuk Awie dan Siti Sarah.

Mereka menyampaikan lagu-lagu popular era Pop Yeh-Yeh seperti Tak Mengapa, Suzana, Hidup Bersama, Syurga Idaman, Siapa Gerangan dan Kenanganku.

Pada tahun ini, AJL32 mengangkat tema Fesyen dan Muzik di mana kedua-dua elemen ini sering bergerak seiring dan saling melengkapi.

AJL32 yang disiarkan secara langsung di TV3 menampilkan pasangan pengacara iaitu Alif Satar dan Sherry Al-hadad.

Menariknya untuk edisi kali ini, rekaan pada trofi yang dimenangi pemenang merupakan cetusan idea pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini.
Altimet ‘gegar’ pentas AJL 32
Umpama mencipta rekod baharu, aksi Altimet yang mendendangkan lagu berjudul Amboi ‘menggegarkan’ Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, pada malam penentuan, Anugerah Juara Lagu Ke-32, malam ini.

Seperti beraksi dalam konsert sendiri, Altimet pantas menarik perhatian peminat sebaik muncul di pentas melontarkan bait lirik lagu popular itu.

Kemunculan aktres Nabila Huda melakonkan watak ‘makcik’ dan beraksi bersama Altimet tambah menghangatkan pentas dengan penonton berdiri mengikut rentak lagu.

Kemunculan Syamel dengan lagu Lebih Sempurna turut menghangatkan pentas ‘pertarungan’ apabila tampil bersama dua pemuzik dengan pentas hidrolik.

Susunan muzik dan kekuatan vokal Syamel mendapat tepukan gemuruh penonton.

Tampil ringkas dengan busana berwarna putih bersesuaian dengan lagu Sejati yang disampaikan, persembahan Azmi Caliph Buskers juga tidak mengecewakan penonton.


DAYANG Nurfaizah menyanyikan lagu Separuh Mati Ku Bercinta pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) 32 di Axiata Arena. – Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Keunikan Hazama & The Penglipurlara tampil dengan solekan diwajah mempersembahkan lagu Aku Yang Sebenar ciptaan Datuk M Nasir cukup bertenaga dan menggamatkan suasana.

Tidak kurang juga aksi Hael Husaini dengan pentas berputar yang diiringi koir serta pemain piano dan gitar mendapat sorakan gemuruh penonton dengan lagu Jampi.

Walaupun bergelar penyanyi ‘otai’ dalam kalangan penyanyi yang bertanding, namun aura Dayang Nurfaizah tidak dapat dinafikan lagi.

Setiap kali melangkahkan kaki ke pentas AJL, tumpuan penonton pasti terarah kepada persembahannya dengan kekuatan dan kelunakan vokalnya.

Mempertaruhkan lagu Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan sepenuhnya Ajai, Dayang cukup memukau tanpa perlu disokong oleh prop yang sarat memenuhi pentas. Sekadar lontaran suara sudah cukup membuatkan penonton tergamam dengan gaya persembahannya.

Terdahulu, pembukaan AJL 32 meledak dengan persembahan hebat dan penuh bertenaga daripada Stacy dengan lagu medley Aku Stacy, Bosan dan Pakai Buang yang turut menampilkan artis rap, Waris.

Seperti dijangka, aksi lincah isteri kepada Akim Ahmad itu mendapat sorakan penonton yang memenuhi segenap ruang arena.

AJL 32 digamatkan lagi dengan gandingan serasi pengacaranya, Alif Satar dan Sherry Al-Hadad yang memecah hilai tawa penonton dengan aksi bersahaja mereka.


PENGACARA, Alif Satar dan Sherry Al-Hadad pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) 32 di Axiata Arena. – Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sebelum acara berprestij itu bermula, artis dan selebriti ‘melaram’ pada segmen karpet merah bertepatan dengan tema penganjur.

Kemunculan mereka mencuri perhatian lensa kamera jurugambar dan juruvideo ketika menuju ke pentas khas untuk merakamkan busana digayakan.

Rona hitam dan biru gelap menjadi pilihan ramai selebriti yang tidak mahu dilihat keterlaluan serta dianggap ‘selamat’ digayakan sesuai dengan acara malam.

Antara selebriti dan artis yang hadir memeriahkan segmen karpet merah adalah Noraniza Idris, Indah Ruhaila, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Shiha, Amira Othman, Nadia Brian, Floor 88, Ifa Raziah, Siti Sarah Rausuddin dan suaminya, Shuib, Sufie Rashid serta Ezlyn.

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *