‘I Tak Ready Lagi. Insya-Allah One Fine Day I’ll Be Wearing Hijab…’ – Kisah Hijrah Mizz Nina

Dari masa ke masa dapat kita lihat sudah ramai artis Malaysia mengambil keputusan untuk berhijab, antaranya ialah Neelofa, Fara Fauzana, Elfira Loy, Rozita Che Wan, Natasha Hudson dan ramai lagi. Kisah hijrah mereka ini menjadi salah satu kisah inspirasi yang boleh dijadikan tauladan buat orang ramai.

Salah seorang artis berhijab yang menjadi kegemaran ramai mestilah isteri kepada vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh iaitu Mizz Nina. Pada awal penghijrahan Mizz Nina pada satu masa dahulu benar-benar membuatkan peminat kagum. Melalui temubual Intrend bersama Mizz Nina, beliau menceritakan kisah hijrahnya yang sangat berinspirasi. Semoga bermanfaat!

Ceritakan bagaimana dan bila momen bersejarah itu berlaku?

Masya-Allah… Subhanallah… Ia umpama satu kurniaan yang sukar saya gambarkan. Dan yang pasti ia bukan berlaku hanya pada suatu malam.Pemergian abang sulung menemui Ilahi pada 2007 banyak memberi impak dalam hidup saya. Ketika itu saya berumur 27 tahun, dan ketika itu kehidupan saya dipenuhi dengan pelbagai agenda dunia yang melalaikan. Sebagai penyanyi, saya sibuk memikirkan apa yang mahu dilakukan untuk pembikinan album, persembahan, tarian, lagu dan sebagainya. Saya berazam mahu menjadi yang lebih baik tetapi ia hanya disalurkan dalam karier nyanyian dan bukannya kepada kehidupan peribadi.

Alhamdulillah, bertemu jodoh dengan Noh dan tanggal 1 Julai 2011 kami diijabkabulkan. Perkahwinan itu memberi satu rahmat buat saya. Saya dan keluarga agak kerap mengerjakan umrah, boleh dikatakan hampir setiap tahun kami seisi keluarga ke sana. Hinggalah titik mulanya hidayah itu saya peroleh sewaktu mengerjakan haji pada 2013 bersama keluarga.

Sukar untuk saya gambarkan perasaan sewaktu berada di Padang Arafah. Melihat jutaan manusia membuatkan saya rasa diri ini terlalu kerdil. Such a humbling feeling… Bagi saya hidayah itu melibatkan satu proses yang panjang dan ia datang daripada pelbagai sumber.

Saya nekad mahu berhijab selepas pulang mengerjakan haji dan syukur hingga hari ini saya masih dengan imej ini. Awalnya saya tidak mahu menjaja cerita mengenai kisah penghijrahan ini. Saya takut ada yang tersalah faham atau membuat andaian atau rumusan yang tidak tepat. Saya lebih suka berdiam diri dan hinggalah beberapa bulan selepas itu barulah saya membuka mulut.

Syukur alhamdulillah, dengan imej ini secara tidak langsung saya memperoleh kelompok peminat baru yang saya sifatkan secara tidak langsung hijrah ini umpama satu jihad yang bukan sahaja memberi kebaikan untuk diri saya sahaja, tetapi mungkin menarik minat yang lain untuk turut sama mendalami dan mendekati agama. Dan cabaran dalam diri saya kini adalah untuk kekal istiqamah terhadap penghijrahan ini.

Perasaan tatkala kali pertama menyarungkan hijab keluar rumah?

Sebelum ke Mekah mengerjakan haji, saya sudah berjinak-jinak memakai hijab. Kali pertama saya berhijab keluar rumah, tiada siapa yang perasan atau kenal saya. Hinggalah selepas saya mengambil gambar dan muat naik di Instagram, barulah ada yang perasan kehadiran saya jika terserempak di luar.Saya tidak memberikan hint yang saya mahu berhijab kerana bagi saya biarlah ia datang pada masa yang sesuai dengan izin-Nya. Saya tidak ambil pusing sama ada terdapat orang yang suka saya berhijab atau tidak kerana bagi saya, apa yang dilakukan semata-mata kerana Allah.

Saya yakin dan percaya, jika kita ikhlas melakukan sesuatu dan nawaitu hanya untuk Allah, ia akan kekal dan berpanjangan. Sama juga seperti niat saya untuk terus berhijab selepas mengerjakan haji. Alhamdulillah, ketenangan itu masih terasa hingga kini.

Penerimaan keluarga dan keluarga mentua selepas berhijab, bagaimana?

Suami, keluarga dan keluarga mentua memberi sokongan penuh kepada saya. Malah mereka sering mengingatkan saya, biarlah berhijab dengan sebenar-benarnya. Bukan pakai sekejap kemudian tanggalkan dan pakai semula atau yang seumpama dengannya. Ikhlaskan niat berhijab semata-mata kerana Allah, insya-Allah pasti segalanya dipermudahkan.

Rindukan nyanyian dan Mizz Nina yang dulu?

Terus terang saya nyatakan, saya tidak rindukan kehidupan yang pernah dilalui masa lalu. Apa yang telah berlaku adalah satu kisah silam yang hanya tinggal sejarah. Saya sudah lepaskan segalanya. Semua mengenai Mizz Nina yang dahulu tidak lebih daripada sekadar pesona bintang yang menyerlah di pentas hiburan.Saya sudah merasai semuanya dan tiada apa lagi yang mahu saya kejarkan. Namun ya, kadangkala saya tidak menafikan rindu untuk menari kerana dahulunya itulah minat dan cinta saya dalam bidang seni. Namun selepas berhijab tidak bermakna saya tidak boleh menari bukan? Apa yang saya lakukan adalah menghadiri kelas senaman atau menari di rumah sahaja. Jauh lebih selesa dan tiada tekanan.

Siapa banyak memberi dorongan dan kekuatan sepanjang kemunculan imej Nina yang baru?

Sudah tentu suami saya, Noh dan keluarga. Malah Noh sejak awal lagi sering mengingatkan saya untuk berhijab tetapi alasan yang sering saya berikan adalah, “I nak launch album nanti, lagu semua dah ada. I tak ready lagi. Insya-Allah one fine day I’ll be wearing hijab…”

Saya hormat dan kagum dengan cara Noh. Dia tidak memaksa jauh sekali memarahi hanya kerana saya tidak berhijab di awal perkahwinan dahulu. Dakwah dan pendekatannya cukup halus, cermat dan berhati-hati. Saya masih ingat lagi katanya, “Sebagai suami I bertanggungjawab memberitahu soal ini kerana you adalah tanggungjawab I.”

Kami berdiskusi mengenai isu ini dalam suasana yang tenang dan berbincang mengenainya dengan cara baik. Dan terbukti pesanannya berbekas di minda dan terkesan di hati saya. Selepas itu barulah saya sedar betapa pentingnya untuk saya memelihara aurat, berhijab dan menjaga batas pergaulan.Peringkat demi peringkat, dia bawa saya ke kelas agama, mengaji Al-Quran dan cuba membantu sedaya yang mampu. Dan kemuncaknya selepas kami pulang daripada mengerjakan haji pada Oktober 2013. Mungkin juga itu hikmah perkahwinan yang saya tidak sedari selama ini. Suami dan isteri saling melengkapi, ingat-mengingati dan membantu antara satu sama lain.Alhamdulillah, berkat doa suami juga petunjuk daripada-Nya, inilah diri saya yang baru. Masih belum cukup sempurna, tetapi insya-Allah saya akan usahakan mencari kesempurnaan itu.

sumber : intrend

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *