TABAH! Sewaktu Sel Kanser Merebak Dalam Badan Saya, Payudara Sakit Sangat-Sangat SAMPAI BERDARAH! Murni Hafiza. Seorang Ibu Nekad Melawan Kanser Yang Dihidapi Demi…

Kesedihan hari ini hanya akan menjadi cerita masa depan. Selama kau tidak berhenti, terus berjalan, berusaha, dan melalui selamanya…

Hampir dua tahun berlalu sejak kali terakhir Nona bertemu wanita jelita ini. Pertemuan merangkap sesi fotografi dan temu bual itu membibitkan persahabatan, sekaligus memberikan kami kesempatan yang luas untuk saling berbahagi pengalaman.
Cerita Murni Hafiza Mohd Zamri, 32, kanser payudara mengajarnya banyak perkara. Nasib kurang baik, dia menghidap kanser pada usia muda dan ketika kehidupan rumah tangga mereka baru bermula.

“Penyakit kanser yang saya hidapi mula dikesan pada tahun 2011. Setepatnya beberapa bulan selepas saya melahirkan anak, Athirah Najwa. Pada masa itu saya hanya bergelar suri rumah sambil berniaga kecil-kecilan secara online. Awalnya, saya langsung tak sangka ketulan kecil di payudara kanan menandakan sesuatu yang berbahaya. Selepas dibiarkan, lama-kelamaan payudara kian membengkak dan menyakitkan. Kami terus ke klinik dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Seremban untuk pemeriksaan lanjut sekitar awal tahun 2012. Dengan perasaan berdebar-debar, saya kuatkan hati untuk mengikut segala proses yang ditetapkan.”

Berita yang singgah ke telinga Murni sememangnya sesuatu yang telah dijangka. Benar, dia disahkan menghidap kanser payudara dan pembedahan perlu dilakukan segera.

“Dalam keluarga saya memang ada sejarah ahli keluarga yang meninggal dunia akibat kanser. Mulanya saya tak sangka akan mendapatnya tapi setelah berfikir panjang, saya yakin bahawa kanser itu boleh diwarisi,” ujarnya dengan tenang.

Sebaik peristiwa itu, Murni sekeluarga berikhtiar untuk berubat cara kampung dahulu. Antara yang dicuba ialah kaedah rawatan Islam dan mengambil ubat-ubatan berasaskan herba tradisional. Pendek kata, semua yang dikhabarkan baik untuk sembuh, telah dicuba. Mereka sedaya upaya berusaha untuk merawat kanser Murni tanpa melibatkan pembedahan.

“Macam-macam usaha kami buat tapi semakin hari semakin merebak kanser di dalam tubuh saya. Seluruh payudara makin sakit membengkak sampai mengeluarkan darah. Pada suatu tahap, saya betul-betul tertekan. Akhirnya saya tekad menyerahkan diri kepada pakar perubatan. Daripada Hospital Seremban, saya dikejarkan terus ke Hospital Putrajaya kerana kemudahan di sana yang jauh lebih lengkap. Pembedahan membuang sebelah payudara atau mastektomi pun segera dijalankan. Doktor turut mengambil kulit di bahagian belakang tubuh saya untuk ‘menampal’ bahagian payudara yang dibuang. Parutnya hampir sebesar tapak tangan.”

 

Ikhtiar Untuk Sembuh

Riak wajah tenang yang terpamer di wajah Murni bukan bererti hatinya tidak bergelora. Mungkin, hanya suami tercinta, Shahizul Hafiz Ismail sahaja yang mengerti segala-galanya.

“Jujurnya saya sentiasa dalam situasi saspens, panik dan terkejut apabila memikirkan tentang Murni.

Hati saya gundah gulana, tapi apabila memandang wajahnya, saya jadi tenang sebab dia sendiri pun reda dengan takdir yang menimpa. Kami serahkan semua kepada Yang Maha Esa,” jawab Hafiz.

Selain Hafiz, ibu Murni juga merupakan individu yang paling banyak menghulurkan bantuan. “Ibu saya banyak membantu menguruskan diri saya. Dialah yang bersusah payah menjaga saya siang dan malam, begitu juga adik-beradik lain yang kerap membelikan pelbagai suplemen untuk dicuba. Hafiz pula banyak menumpukan masa untuk menjaga Athirah. Maklumlah, sewaktu saya sakit, dia masih sangat kecil dan memerlukan perhatian serta kasih sayang ibu bapa. Timbul juga rasa sedih kerana tidak dapat menjaganya sebaik ibu-ibu sihat yang lain,” tutur Murni yang kini hanya bekerja secara sambilan sebagai Yakult Lady.

Tersentuh hati apabila Murni bercerita, Hafiz juga ada masanya akan membantu mengelap tubuh dan membuat urutan untuk melegakan kesakitan yang ditanggung. Sedikit sebanyak meringankan deritanya yang tidak lagi selincah dahulu. Selepas pembedahan, Murni terpaksa melalui beberapa siri kemoterapi dan rawatan radioterapi. Dalam tempoh memeritkan ini, dia sukar untuk makan kerana asyik muntah sehingga berlarutan selama dua hari.

Terpaksa melalui enam pusingan kemoterapi (dua minggu sekali) dan 21 pusingan radioterapi pastinya satu kenangan pahit yang sukar dipadamkan daripada ingatan.

“Sakit waktu rawatan kemoterapi tu Tuhan sajalah yang tahu. Bukan saja muntah, tapi saya hilang selera makan, lidah rasa kosong, tekak payau dan rasa panas yang amat. Habis segala rambut dan bulu-bulu gugur masa jalani rawatan pertama,” kongsinya.

Pernah terjadi, kulit yang dibedah sukar bercantum sehingga menyukarkan pergerakan hariannya. Murni juga terpaksa menjaga pergerakannya sebaik mungkin kerana kesan pembedahan masih terasa sehingga ke hari ini.

“Sampai sekarang saya masih berjaga-jaga. Masih ada lagi rasa sejuk dan kebas di bahagian dada. Paling menyakitkan adalah sewaktu sesi radioterapi, masih teringat sakitnya bagai terbakar kulit. Panas sangat!” katanya terus-terang.

Enam tahun berlalu. Berkat kesabaran dan semangat yang kuat untuk sembuh, kini Murni disahkan bebas kanser. Ucapan syukur tak lepas-lepas dari bibirnya. Bagaikan orang mati hidup semula, begitulah perasaan Murni sekarang.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana memberi kesembuhan kepada saya. Kanser mengajar saya banyak perkara dan salah satunya agar lebih menghargai suami, ibu bapa serta ahli keluarga dengan sebaik mungkin. Mereka sentiasa ada walaupun pada waktu paling teruk saya. Perhatian mereka terlalu berharga.

Saya juga tekad mahu berbakti pada masyarakat. Kini saya aktif menyertai Friends of Positive Image yang dianjurkan oleh Yayasan Budi Penyayang bagi menyeru kepada pesakit-pesakit kanser serta ahli keluarga mereka supaya sama-sama menyertai kelab ini.

Kelab Friends of Positive Image ini juga mengadakan pelbagai aktiviti untuk pesakit kanser, contohnya dengan membantu keluarga pesakit dan mendapatkan kerja untuk menyara kehidupan mereka.

Saya sendiri berusaha melibatkan diri dalam setiap mesyuarat dan aktiviti yang dijalankan. Semoga pengalaman dan semangat ini sedikit sebanyak dapat membantu pesakit lain melalui tempoh-tempoh getir dalam hidup mereka,” azam Murni yang turut menyatakan penghargaannya kepada Yayasan Budi Penyayang kerana pernah memberi bantuan berupa coli payudara silikon atau coli mastektomi untuk kegunaan hariannya.

“Saya juga giat mengamalkan gaya hidup sihat secara sederhana. Pemakanan yang betul turut diutamakan kerana banyak penyakit kronik pada zaman sekarang bermula dengan gaya diet yang tidak betul. Yang penting makan makanan seimbang, elakkan makanan berlemak dan banyakkan pengambilan buah-buahan dan sayuran segar,” akhirinya. Norzalina Mohd Alias

Sumber: nona.my

Cara Awal Mengesan Kanser Payudara

Ada sesetengah penyakit kita langsung tidak dapat mengesannya sehinggakan ianya sudah berada pada tahap yang merbahayakan barulah ianya dikesan. Jadi, pastinya kita tidak mahu ianya berlaku kepada diri kita mahupun orang yang disayangi.

Mungkin cara penjagaan tubuh badan dan diet sihat yang kita amalkan sudah disempurnakan dan dipraktikkan tetapi siapa boleh melawan takdir bukan? Jadi, sebelum ianya terlambat, lebih baik mengesannya lebih awal agar masih ada peluang dan cara untuk kita mengubatinya.

EH! kongsikan cara untuk mengesan sebarang simptom atau tanda kanser payudara.

Simptom:

  1. Perubahan rasa pada sekitar payudara atau puting.
  2. Puting dan payudara kelihatan membengkak atau menebal.
  3. Perubahan pada tekstur kulit atau pori kulit pada bahagian tersebut kelihatan terbuka lebih besar.
    Ketulan yang muncul di bahagian bawah lengan. Namun tidak semua adalah tanda awal kepada kanser.
  4. Perubahan pada saiz atau payudara anda.
  5. Payudara kelihatan mengecut lebih-lebih lagi jika hanya tertumpu pada satu bahagian sahaja.
  6. Simetri payudara kelihatan berbeza dari sebelumnya. Sememangnya wanita mempunyai payudara yang berbeza daripada segi saiz di kedua-dua bahagian. Namun jika ianya terlalu ketara perubahan simetri tersebut, adalah digalakkan untuk melakukan pemeriksaan doktor.
  7. Payudara atau disekeliling puting menjadi kemerahan atau membengkak.

Cara Melakukan Pemeriksaan Payudara di Rumah

Langkah 1:

Mulakan dengan memerhati payudara anda di depan cermin dengan postur bahu menegak dan meletakkan lengan anda di atas tulang pinggang.

Perhatikan dari segi saiz, bentuk, rona, dan mengesan terus bengkak di bahagian payudara.

Jika anda mengenal pasti sebarang kelainan pada payudara anda seperti kemerahan dan pembengkakkan, adalah lebih baik untuk terus mendapatkan pemeriksaan pakar.

Langkah 2:
Angkat kedua-dua belah tangan dan lihat pada perubahan yang sama seperti di atas.

Langkah 3:
Tatkala anda berada dihadapan cermin, perhatikan sebarang tanda cecair yang keluar dari sebelah atau kedua-dua belah puting. Ianya mungkin air, susu, cecair kekuningan atau darah.

Langkah 4:
Melakukannya dalam keadaan berbaring, menggunakan tangan kanan anda untuk memeriksa payudara di sebelah kiri dan seterusnya di sebelah kanan. Lakukan secara perlahan-lahan dengan lembut. Rapatkan jari dan lakukan pemeriksaan di bahagian payudara dalam pergerakan membulat. Periksa keseluruhan payudara lebih-lebih lagi di bahagian bawah lengan.

Langkah 5:
Terakhir sekali, lakukan pemeriksaan yang sama seperti langkah 4 tetapi dengan postur berdiri atau duduk. Ramai wanita mendapati ianya lebih mudah untuk memeriksa secara terperinci payudara apabila kulit dalam keadaan basah dan licin. Jadi, majoriti golongan wanita suka melakukan pemeriksaan ini ketika mandi.

 

Sumber : viralism

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *